Dua Pelajar Malaysia Hilang Di Mesir


MELAKA – Dua pelajar Malaysia di Kaherah dari Melaka dilaporkan hilang sehari sebelum proses membawa pulang mereka dari negara bergolak, Mesir dimulakan.

Dua pelajar lelaki terbabit dalam usia awal 20-an, terlebih dahulu melaporkan diri mereka di Rumah Melaka di Kaherah ketika ketegangan berlaku di negara itu tetapi menghilangkan diri sebelum proses membawa pulang mereka ke Kuala Lumpur dilakukan pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Md Yunos Husin berkata dua pelajar terbabit meninggalkan rumah mereka yang diuruskan kerajaan negeri tanpa memaklumkan kepada pegawai yang bertugas menjaga kebajikan pelajar di negara itu.

“Saya diberitahu bahawa mereka berdua belum ditemui walaupun usaha mencari sedang dilakukan pada Selasa bagi memastikan mereka kembali ke tanah air bersama dengan pelajar-pelajar lain,” katanya.

Md Yunos berkata ibu bapa kedua-dua pelajar terbabit telah dimaklumkan mengenai status mereka.

Katanya, kedua-dua pelajar terbabit adalah antara 20 pelajar dari Melaka yang sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

“Kami meneruskan operasi mencari dan bekerjasama dengan Wisma Putra dan beberapa pegawai Majis Keselamatan Negara (MKN) yang berpangkalan di Kaherah,” katanya.

Sementara itu, Malaysia Airlines (MAS) berkata, mereka akan menggunakan tiga pesawat miliknya untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir.

Pesawat pertama, MH8100, akan meninggalkan Kuala Lumpur pada pukul 11.10 pagi Sabtu dan dijangka tiba di Kaherah pada pukul 3 petang waktu tempatan.

Dua lagi pesawat akan berlepas pada Isnin dan Selasa pada waktu yang sama.

MH8100 turut akan membawa beberapa pegawai kerajaan Malaysia dan pasukan operasi dari MAS. – mStar Online

Speaker wanita pertama Malaysia tegas di sidang DUN

Oleh Rita Jong
July 12, 2013
Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh di pejabatnya. - Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 12 Julai, 2013.Jangan disangka orang yang bertubuh kecil tidak mampu membuat sesuatu yang `besar, apatah lagi jika dia seorang wanita. Speaker dewan undangan negeri wanita yang pertama di Malaysia, Hannah Yeoh hanya berdiri pada ketinggian lima kaki, tetapi ternyata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya itu berjaya mengumpul peminatnya sendiri.

"Baru-baru ini ketika saya di Sunway Pyramid, ada seorang budak perempuan berusia 12 tahun datang kepada saya untuk meminta autograph. Selepas tanda tangan, budak itu beritahu `I love you kepada saya. Pada ketika itu, hati saya terdetik bahawa saya bukan saja ahli politik, tetapi role model kepada generasi muda," kata anak sulung tiga beradik itu.

Ibu kepada dua anak perempuan itu berkata, beliau sedar kesan peranan yang dipegangnya bukan saja kepada keseluruhan generasi Malaysia tetapi kepada dewan, kerana ini adalah pertama kali dalam sejarah, beliau menjadi speaker dewan negeri paling muda iaitu pada umur 34 tahun. Beliau mengambil pendekatan tegas tetapi baik hati kepada semua ahli dewan.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, beliau berkata:"Dalam dewan, kita ada mereka yang lebih tua daripada saya, sesetengahnya adalah golongan Datuk dan Tan Sri. Saya mengendalikannya mengikut set peraturan yang sama, tetapi, ada masanya kita perlu berbudi bahasa dan sopan."

Ketua Wanita DAP Selangor itu berkata, beliau tidak pernah terfikir akan menjadi seorang speaker kerana sebagai lepasan jurusan undang-undang, kelazimannya jawatan tertinggi yang diidamkan ialah peguam atau hakim.

Katanya:"Saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi speaker. Tetapi saya suka berada dalam peranan itu dan apabila saya toleh ke belakang, saya rasa ini adalah yang terbaik untuk saya pada masa ini.
"Sebagai graduan undang-undang, anda sasarkan untuk menjadi sama ada peguam terkenal atau hakim. Tetapi, saya tidak pernah terbayang saya akan menjadi speaker dalam dewan di mana undang-undang dibuat di sini. Ia seperti mimpi jadi kenyataan buat saya."

Apabila bercakap mengenai wakil Barisan Nasional, Yeoh dengan penuh yakin dan mudah merujuk mereka sebagai pembangkang.
"Saya mendapati sebagai wakil yang dipilih, apa yang mereka mahu dalam dewan itu ialah untuk padangan mereka didengar. Saya boleh beri itu. Saya juga sedar bahawa kali ini hanya ada 12 Adun daripada pembangkang," katanya.
Yeoh berkata, beliau membenarkan lebih masa kepada Adun untuk berucap kerana beliau percaya kepada keperluan memastikan periksa dan imbang dalam persidangan dewan.

"Apabila perbahasan menjadi tegang, saya tidak memadamkan mikrofon. Saya rasa Adun patut tahu menjaga tingkah laku mereka, apatah lagi persidangan itu disiarkan secara langsung," katanya.
Tambahnya, beliau berpuas hati dengan perjalanan prosiding untuk enam hari pada mesyuarat lalu apabila mereka boleh berbahas ucapan Sultan, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan dan usul yang dibawa oleh Adun.

Katanya:"Sebelum persidangan pertama bermula, saya bimbang kerana tidak pasti sama ada saya boleh mengawal dewan apabila kedua-dua pihak berdebat. Tetapi selepas hari pertama, saya rasa lebih tenang dan selesa dengan peranan itu."
Ketika ditanya keadaan paling susah ketika mengendalikan sidang dewan yang lalu, Yeoh berkata:"Mengawal diri daripada ketawa dalam keadaan tertentu. Ada juga masanya saya terpaksa memotong soalan daripada Adun yang kali pertama dilantik kerana tidak berkaitan dengan isu perbincangan. Awak patut lihat air muka mereka. Ia tidak ternilai." - 12 Julai, 2013.