Logo Persatuan Kerabat Kedah Tak Sah


Berikutan banyak kes kekeliruan dan salahguna lambang kenderaan Persatuan Kerabat Kedah (PKK),  persatuan itu dibubarkan bermula 26 September lalu.

Sebagai ganti, diwujudkan sebuah persatuan baharu dengan nama Persatuan Kerabat DiRaja Kedah yang keahliannya terdiri daripada kalangan susur galur keluarga DiRaja Kedah.

Pembubaran diumumkan Syed Idrus Syed Baharom yang dipilih sebagai Yang DiPertua Penaja Persatuan Kerabat DiRaja Kedah.

Beliau yang juga Bekas Timbalan Yang DiPertua PKK berkata, pembubaran dilakukan  setelah pihak persatuan menerima banyak aduan berkaitan salah guna logo kenderaan yang diletakkan pada kereta bukan pemilik atau ahli persatuan.

Malah, ada juga yang menggunakan logo kenderaan tersebut dengan niat memeras ugut untuk tujuan kewangan dan kepentingan tertentu.

Justeru katanya, logo yang dikeluarkan sebelum ini terbatal dengan sendiri dan dilarang digunapakai pada sebarang kenderaan.

Syed Idrus merupakan antara pengasas PKK yang ditubuhkan pada tahun 1997 dengan keahlian seramai 700 orang. – REM RAMZI

Posting Komentar