Suami Disorok Bunian Ketika Cari Ketam


KUALA SELANGOR – Misteri kehilangan seorang nelayan pantai sejak Khamis lalu masih belum terjawab dan gerakan mencari masih aktif dijalankan di sekitar kawasan hutan paya bakau di Jeti Sungai Yu, di sini.

Malah, banyak andaian dan ramalan pawang yang memaklumkan kehilangan Jamaludin Abd Ghani, 50, mungkin disorok bunian memandangkan kawasan yang dilalui untuk mencari ketam dikatakan keras dan merupakan perkampungan bunian.

Isteri mangsa, Chek Tom Shaari, 40, berkata, dia bimbang selepas suaminya tidak pulang ke rumah sebelum gerakan mencari pada jam 7 petang bermula dengan penemuan motosikal di jeti terbabit.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar menuju ke jeti dalam keadaan hujan renyai tanpa disedari isterinya sedangkan pada awalnya dia memaklumkan tidak mahu turun ke laut disebabkan cuaca yang kurang elok.

“Perangai suami memang berbeza. Selama ini sebelum keluar dia akan beritahu saya jika mahu ke mana-mana,” katanya.

Apabila suami tidak pulang, dia segera memaklumkan jiran dan bersama-sama mencari di jeti, malangnya tiada sebarang petunjuk ditemui sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Balai Polis Tanjong Karang.

Katanya, gerakan mencari diteruskan melibatkan pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), rakan nelayan sehingga jam 2 pagi manakala penduduk kampung membuat solat hajat di Surau At Taqwa Taman Desa Mawar dan Surau Jeti Sungai Yu.

“Semua mencari suami saya sampai jam 7 pagi dan berhenti kerana solat Jumaat,” katanya.

Pernah lihat perkampungan cantik

Chek Tom tidak menolak andaian suaminya itu disorok bunian memandangkan kawasan itu memang keras dan pernah berlaku kejadian seumpama itu sebelum ini.

Menurutnya, suaminya juga pernah bercerita dia ada terlihat perkampungan yang sangat cantik dalam hutan paya bakau itu, namun dia tidak pergi dekat.

“Mungkin kali ini suami saya diduga sampai tidak boleh keluar dari kawasan itu. Ada yang kata suami termakan buah limau yang ranum di dalam hutan itu menyebabkan penunggu kawasan itu tidak mahu melepaskannya.

“Yang penting sekarang ini saya mahu suami selamat sahaja. Apa cara sekali pun yang terpaksa digunakan saya akan usahakan demi suami,” katanya.

Tapak kaki mangsa ditemui

Sementara itu, Ketua Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Sahrul Hafizan Daud berkata, meskipun tapak kaki mangsa ditemui, namun kelibatnya masih belum dikesan menyebabkan mereka terpaksa menghentikan operasi pada jam 8 malam sebelum disambung hari ini.

Menurutnya, seramai 10 anggota menyertai gerakan mencari mangsa bermula 10 malam kelmarin bersama penduduk setempat dengan keadaan hutan paya bakau yang dipenuhi selut.

“Cuaca gelap agak menyukarkan pergerakan lebih-lebih lagi anggota kerap menemui ular dan haiwan berbisa lain. Namun usaha mencari tetap diteruskan pada hari ini (semalam) bermula jam 9 pagi tadi,” katanya.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Selangor Utara, Mohd Zulhilmi Mohd Ridzuan pula berkata, seramai 11 anggota bomba dengan kekuatan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor serta Tanjong Karang dikerahkan dalam usaha mencari mangsa bermula jam 3 petang sehingga 8 malam.

“Meskipun mangsa sudah dilaporkan hilang lebih 24 jam, namun pihak bomba hanya dimaklumkan selepas solat Jumaat dan bergegas menyelusuri sungai dengan bot untuk mencari mangsa.

“Usaha mencari akan diteruskan esok (hari ini) dengan bantuan anjing pengesan K9,” katanya.

Simpati nasib penduduk

Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak turut bersimpati dengan musibah yang menimpa Ketua Persatuan Nelayan Jeti Sungai Yu itu dan turut membantu mencari mangsa menerusi bantuan orang kampung.

“Saya juga memaklumkan kepada pihak Syabas supaya menyediakan tangki statik untuk kemudahan penduduk yang datang ke jeti itu terutamanya keluarga mangsa yang datang dari Pontian, Johor.

“Saya berharap mangsa dapat ditemui dalam keadaan baik dan turut meminta kariah di Masjid Sungai Terap dan Masjid Sungai Yu supaya mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan Jamaludin,” katanya. - SINAR HARIAN



Posting Komentar