Lakaran Watak Kartun Android Versi Seterusnya – “Key Lime Pie” Diperlihatkan Amanz

Penggunaan nama Key Lime Pie untuk Android 5.0 telah diura-urakan sejak beberapa bulan yang lepas lagi, dan kini, salah seorang pekerja Google, hadir dengan sebuah lakaran watak-watak Android dalam bentuk pelbagai variasi mengikut tema makanan manis yang digunakan Google.
Daripadanya, watak paling terkini yang ditambah padanya adalah watak Android yang sedang menikmati Key Lime Pie. Namun, seperti biasa, ia mungkin hanya sekadar lakaran sahaja, dan perlu menantikan pihak Google secara rasminya mengumumkan nama versi Android yang seterusnya.
Google, pada setiap versi Android mengambil nama mengikut abjad, dan menamakannya mengikut nama makanan yang manis. Versi paling terkini dilancarkan oleh Google adalah Android 4.2 Jelly Bean, yang mana hanya digunakan oleh segelintir kecil pengguna sahaja buat masa ini.
Versi Android seterusnya dijangka akan diperkenalkan pada pertengahan tahun 2013 kelak.

Kekalahan LCW Ada Unsur Sabotaj – China Main Kotor



GUANGZHOU – Jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei mungkin gagal dalam misi meraih gelaran sulung pada Kejohanan Dunia selepas terpaksa menarik diri di set penentuan ketika 17-20 berikutan mengalami kekejangan otot di kaki dan perut, sekaligus tewas kepada musuh tradisinya, Lin Dan dari China 21-16, 13-21, 20-17 pada aksi final di Gimnasium Tertutup Tianhe, malam tadi.
Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang boleh dipertikaikan terutama tindakan penganjur menutup penghawa dingin dalam stadium yang menyebabkan Chong Wei mengalami dihidrasi dan menyukarkannya untuk bernafas.
Ia seolah-olah ada unsur sabotaj bagi membolehkan Lin Dan merekodkan kejuaraan dunia buat kali kelima sepanjang kerjayanya.
”Perlawanan hari ini (malam tadi) memang kompetitif apabila kedua-dua pemain menunjukkan prestasi baik dan boleh disifatkan sebagai pertembungan antara dua lagenda badminton dunia.
“Namun, apa yang saya ingin pertikaikan adalah tindakan penganjur menutup penghawa dingin sehingga menyebabkan suasana dalam stadium menjadi terlalu panas. Itu yang menyebabkan Chong Wei mengalami kekejangan otot kerana tiada oksigen dan menyukarkannya bernafas,” kata jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock.
Menurut Seu Bock, barisan pengurusan skuad negara sudah mengemukakan aduan ketika perlawanan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terhadap masalah itu namun badan induk berkenaan memberi maklum balas mengecewakan apabila menjelaskan yang mereka tidak tahu berhubung perkara itu.
“BWF kata itu bukan tanggungjawab mereka kerana penghawa dingin dikawal oleh Jawatankuasa Penganjur Kejohanan (Local Organising Committee), jadi kami sendiri tidak tahu apa puncanya.”
“Kalah tetap kalah tetapi situasi seperti ini memberi petanda negatif terhadap sesuatu pertandingan dan ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada pemain. Chong Wei seorang pemain yang tidak mudah berputus asa dan sebab itu dia masih mahu bermain walaupun suatu ketika sudah mengalami kekejangan otot sebelum menarik diri,” katanya.
Chong Wei dikejarkan ke hospital tempatan sejurus selepas itu tetapi dilaporkan keadaannya stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
‘Saya simpati nasib Chong Wei’
Sementara itu, Lin Dan menjadi pemain perseorangan lelaki paling berjaya dalam sejarah badminton dunia dengan lima kejuaraan dunia yang dirakamkan itu selepas kejayaan pada 2006 (Madrid), 2007 (Kuala Lumpur), 2009 (Hyderabad), dan 2011 (London).
“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa Chong Wei kerana kami sudah memberi aksi terbaik untuk penonton. Ketika saya mendahului 19-16, dia mula mengalami kekejangan otot dan saya bertanya kepadanya apa yang berlaku dan ketika itu saya sudah tidak fikir yang kami ini adalah lawan.
“Saya tahu dia tidak mahu menyerah kalah tetapi nasib tidak menyebelahinya. Saya berterima kasih kepadanya kerana menjadi lawan yang membuatkan bermotivasi tinggi mempamerkan aksi terbaik,” kata Lin Dan. – Berita Harian

Mengapa Tak Umum Hendak Naikkan Gaji MB Masa Kempen PRU Dulu – Dr Chandra Muzaffar


Saya tertanya-tanya, mengapa pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat tidak memberitahu pengundi semasa kempen pilihan raya umum ke-13 lalu yang mereka akan menaikkan gaji dan elaun orang Menteri Besar dan ketua menteri, ahli majlis eksekutif dan perundangan dalam tempoh enam bulan selepas memegang kuasa?

Keutamaan bagi seseorang pemimpin yang dipilih sepatutnya adalah menjaga kebajikan rakyat dan merangka strategi yang paling berkesan untuk membendung kenaikan kos sara hidup.

Lebih 75% daripada isi rumah di negara ini berpendapatan kurang daripada RM5, 000 sebulan. Kos sara yang hidup, termasuk harga makanan melambung merupakan cabaran terbesar mereka.

Baik BN ataupun PR belum datang dengan penyelesaian yang komprehensif kepada masalah yang besar ini.

Satu kajian semula secara holistik mengenai struktur upah dan gaji kita; pengeluaran serta pengedaran barangan dan perkhidmatan di negara ini, corak penggunaan, tahap kemahiran yang boleh dipasarkan; asas saintifik dan teknologi negara, peranan tenaga pekerja asing, sangat diperlukan ketika ini.

Ia penting untuk kita beralih daripada ekonomi yang berorentasikan ‘elit’ kepada penekanan yang lebih kepada dasar-dasar berasaskan kesaksamaan yang kelak akan memberi kuasa kepada majoriti rakyat.

Pekali Gini (ukuran penyerakan statistik) dalam pengagihan pendapatan di negara kita pada akhir tahun 2012 adalah salah satu yang yang tertinggi di Asia Tenggara, ia adalah lebih buruk daripada Indonesia dan Thailand.

Hasil daripada perbezaan ini, jurang sosial yang memisahkan golongan “berkemampuan” dan golongan “kurang berkemampuan” telah melebar dengan ketara hingga mewujudkan masyarakat yang ‘terbahagi’.

Ia adalah salah satu halangan yang serius dalam usaha pembentukan “1Malaysia”.

Malangnya, pelebaran kekayaan dan jurang sosial juga adalah satu fenomena global.

Ia mula melemahkan perpaduan termasuk dalam masyarakat yang dikenali kerana ‘egalitarianisme’ mereka seperti di negara-negara Scandinavia.

Di Amerika Syarikat, kapitalisme tanpa belenggu telah menjadi punca kepada peningkatan ketidaksamaan – sekaligus mewujudkan keadaan di mana “keluarga Walton, pewaris kekayaan Walmart, telah mengumpul kekayaan lebih daripada 40% di Amerika Syarikat.”

Inilah sebabnya, mengapa dari segi moralnya, kenaikan besar gaji para ‘pemimpin’ di negara ini tidak boleh dipertahankan di saat rakyat yang lain terpaksa ‘berjuang’ untuk meneruskan kehidupan.

Ia mengingatkan kita pada satu akronim yang dikaitkan dengan Presiden Sukarno sekitar tahun 50-an dulu iaitu iaitu USDEK – Untuk Saya Dahulu Engkau Kemudian .

Dr Chandra Muzaffar

Petaling Jaya