Mengapa Tak Umum Hendak Naikkan Gaji MB Masa Kempen PRU Dulu – Dr Chandra Muzaffar


Saya tertanya-tanya, mengapa pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat tidak memberitahu pengundi semasa kempen pilihan raya umum ke-13 lalu yang mereka akan menaikkan gaji dan elaun orang Menteri Besar dan ketua menteri, ahli majlis eksekutif dan perundangan dalam tempoh enam bulan selepas memegang kuasa?

Keutamaan bagi seseorang pemimpin yang dipilih sepatutnya adalah menjaga kebajikan rakyat dan merangka strategi yang paling berkesan untuk membendung kenaikan kos sara hidup.

Lebih 75% daripada isi rumah di negara ini berpendapatan kurang daripada RM5, 000 sebulan. Kos sara yang hidup, termasuk harga makanan melambung merupakan cabaran terbesar mereka.

Baik BN ataupun PR belum datang dengan penyelesaian yang komprehensif kepada masalah yang besar ini.

Satu kajian semula secara holistik mengenai struktur upah dan gaji kita; pengeluaran serta pengedaran barangan dan perkhidmatan di negara ini, corak penggunaan, tahap kemahiran yang boleh dipasarkan; asas saintifik dan teknologi negara, peranan tenaga pekerja asing, sangat diperlukan ketika ini.

Ia penting untuk kita beralih daripada ekonomi yang berorentasikan ‘elit’ kepada penekanan yang lebih kepada dasar-dasar berasaskan kesaksamaan yang kelak akan memberi kuasa kepada majoriti rakyat.

Pekali Gini (ukuran penyerakan statistik) dalam pengagihan pendapatan di negara kita pada akhir tahun 2012 adalah salah satu yang yang tertinggi di Asia Tenggara, ia adalah lebih buruk daripada Indonesia dan Thailand.

Hasil daripada perbezaan ini, jurang sosial yang memisahkan golongan “berkemampuan” dan golongan “kurang berkemampuan” telah melebar dengan ketara hingga mewujudkan masyarakat yang ‘terbahagi’.

Ia adalah salah satu halangan yang serius dalam usaha pembentukan “1Malaysia”.

Malangnya, pelebaran kekayaan dan jurang sosial juga adalah satu fenomena global.

Ia mula melemahkan perpaduan termasuk dalam masyarakat yang dikenali kerana ‘egalitarianisme’ mereka seperti di negara-negara Scandinavia.

Di Amerika Syarikat, kapitalisme tanpa belenggu telah menjadi punca kepada peningkatan ketidaksamaan – sekaligus mewujudkan keadaan di mana “keluarga Walton, pewaris kekayaan Walmart, telah mengumpul kekayaan lebih daripada 40% di Amerika Syarikat.”

Inilah sebabnya, mengapa dari segi moralnya, kenaikan besar gaji para ‘pemimpin’ di negara ini tidak boleh dipertahankan di saat rakyat yang lain terpaksa ‘berjuang’ untuk meneruskan kehidupan.

Ia mengingatkan kita pada satu akronim yang dikaitkan dengan Presiden Sukarno sekitar tahun 50-an dulu iaitu iaitu USDEK – Untuk Saya Dahulu Engkau Kemudian .

Dr Chandra Muzaffar

Petaling Jaya

Posting Komentar